Sunday, October 18, 2009

Nasib Guru Sandaran

Salam...

Aku mula jadi guru pada tahun 1999. Hingga kini apa aku perhatikan masih lagi ada pengambilan guru sandaran. Dengan alasan guru sandaran ini adalah bagi menampung masalah kekurangan guru di Malaysia. Tahun berganti tahun, guru sandaran datang membantu menyelesaikan masalah ini. Dulu, nasib mereka ada yang terbela dan setidak-tidaknya masalah mereka juga dibantu oleh Kementerian Pelajaran. Di mana mereka dipilih untuk mengikuti Kursus Dalam Cuti (KDC). Selamat.....

Tetapi apa yang aku dapati sekarang nasib guru-guru sandaran sekarang yang tidak terbela. Apa tidaknya, dengan mewujudkan undang-undang yang langsung tidak berpihak kepada wanita. Apabila di dapati mengandung, terus buang. Bukan buang bayi tapi buang dari senarai guru sandaran. Lebih malang lagi jika masa itu guru sandaran itu telah mendapat tawaran maktab perguruan (Institut Perguruan). Ingat lagi aku peristiwa yang menimpa pada isteri aku pada tahun 2005. Sangat tidak adil.

Peristiwa itu masih jelas di ingatan aku. Isteri dapat panggilan telefon minta dia mendaftar ke Maktab Perguruan Tawau. Tiada surat. Tidak tahu apa syarat-syarat yang dikenakan. Hanya datang mendaftar dengan perasaan hati yang cukup gembira kerana tawaran yang sekian lama di tunggu-tunggu. Sanggup meninggalkan kerja yang disandang pada masa itu sebagai Amil Kutipan di MUIS. Tapi perasaan, hati dan jiwa hancur lebur bila tiba di Institut Perguruan (IP), setelah diberi taklimat oleh seorang pengarah pelajaran (Perempuan), dengan angkuhnya mengatakan dia tidak mahu ada mengandung mengikuti tawaran Latihan Perguruan Berasaskan Sekolah (LPBS) yang di ambil dari guru-guru sandaran agama. Beliau menegaskan agar yang pelatih yang mengikuti LPBS ini diperiksa dengan teliti. Sedangkan pada masa itu isteri aku sedang mengandung anak pertama aku 3 bulan. Apabila dilakukan medical check-up, bocorlah rahsia....dalam kumpulan itu ada beberapa orang yang telah mengandung. Akhirnya mereka termasuk isteri ku di arahkan pulang. Tanpa ada penangguhan atau lain-lain perjanjian. Adakah ini adil? Seolah-olah keputusan mereka (orang atasan) ini merendah-rendahkan martabat kaum wanita.

Hingga sekarang isteri ku masih lagi luka hatinya...Hinggalah pada bulan 5 2009, ada lagi tawaran guru sandaran agama untuk sekolah rendah. Isteri ku mencuba nasib dengan menghadiri temuduga. Nasib isteri ku baik (sekejap jer), diterima sebagai guru sandaran tidak terlatih dan dihantar ke sebuah sekolah di Pulau Sebatik (nasib tak baik). Semasa diberi surat perlantikan telah diberitahu, "tidak dibenarkan untuk menukar tempat mengajar". Tapi mereka (orang atasan) ini tidakkah mereka tengok pada profile pemohon. Patutkah isteri ku dihantar ke Pulau Sebatik di mana hanya 1 kali sahaja sehari pengangkutan untuk ke sana dan mengambil masa selama 1 setengah jam menaiki bot. Apa tujuan mereka ini. Cuba memisahkan isteri dengan suami, cuba memisahkan ibu dengan anak-anak. Adakah ini adil? Isteriku npernah cuba memohon pertukaran tempat mengajar, dengan angkuh dan sombongnya pegawai di Pejabat Pelajaran Kota Kinabalu menjawab...."kalau ustazah tidak mahu, berebut orang lain mahu jawatan ini". Kejam tak kejam.

Dengan hati yang berat pergilah juga isteri ku ke Pulau Sebatik dengan membawa anakku yang ke 2 kerana masih menyusu badan. Malang sekali lagi dengan keadaan di sana hanya ada bekalan elektrik secara berjadual dan kadang-kadang tiada bekalan eletrik langsung. Kini nasib isteri ku sebagai guru sandaran masih tidak nampak. Tiada jaminan untuk disambung kontrak atau pun ditawarkan latihan perguruan.

Apa yang aku mahu jelaskan di sini, sampai bilakah nasib guru sandaran ini terbela sedangkan mereka sanggup mengorbankan hidup untuk memajukan anak bangsa, menyahut cabaran Kementerian Pelajaran dan membantu menyelesaikan masalah kekurangan guru, tapi nasib mereka masih tetap sama. Terabai. Bila mahu dipanggil, bila tidak mahu dibuang dan dilupakan begitu sahaja...

Aku menyerulah pada sesiapa yang bertanggungjawab, tolonglah dan bantulah guru-guru sandaran ini.

No comments:

Post a Comment